Sabtu, Mei 24, 2014

Rumahku Baitul Hikmah

Salam semua. Sudah hampir 3 minggu saya tidak membuat apa-apa artikel baru di mana-mana blogspot, sejak membuat pengumuman rasmi mahu berehat buat beberapa lama daripada menyertai aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam. Lihat HIKMAH berehat dan Faktor 131. Fikirnya mahu menggunakan keberkatan bulan Rejab ini untuk menyambung penulisan buku ke-8 yang sudah lama tertunda, penulisan yang dimulakan awal 2012. Tetapi saya masih belum mendapat gerak dan rentak yang sesuai, setakat dapat menambah sedikit bahan rujukan untuk buku.

Jangankan itu, untuk berkongsi fikiran dan cerita di Facebook pun terasa kurang berselera. Walaupun sejak itu saya ada juga membuat beberapa perkara, misalnya pergi ke satu majlis besar di Melaka kemudian ke Muar, terasa begitu berat untuk mencoretkan walau sepotong ayat. Lalu beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan saya lebih sibuk memikirkan apakah hiasan yang perlu ditambah untuk mencantikkan rumah baru yang diduduki 4 bulan lalu. Beberapa perkara telah dibuat tetapi masih ada yang perlu ditambah. 

Buat masa ini saya dan isteri cukup puas hati apabila dapat menghias bahagian loteng rumah dengan kain panjang pelbagai warna, satu perkara yang sudah berbulan kami fikirkan tapi malam Jumaat lalu baru dilakukan. Dengan ini biarlah dikongsikan sedikit gambar sekitar rumah sebagai satu proses untuk memecah kebuntuan... 


Kita mulakan dengan melihat dari laman hadapan. Ukiran yang saya suka panggil sebagai 'lidah terjulur iaitu ukiran menajam ke bawah pada sudut bumbung rumah adalah satu perkara yang sudah lama saya dan isteri impikan untuk dilihat pada rumah sendiri. Kami sudah bertahun-tahun melihat bentuk serupa menghiasi masjid-masjid dan rumah lama di beberapa tempat terutama di Perak. Oh... biar diberitahu rumah ini dinamakan Baitul Hikmah sempena ia dibeli dan diperbaiki ketika kami sedang sibuk mengadakan aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam atas nama HIKMAH. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)





Pandangan ke luar dari pintu rumah. Kelihatan kain kuning digunakan untuk menghias pondok rehat. Kain berusia hampir 13 tahun itu pernah dipakai untuk berinteraksi dengan alam ghaib, ketika mula-mula mencari salasilah keluarga, atas saranan seseorang. Tetapi saya cuma memakainya buat beberapa hari sahaja, paling lama pun 2 minggu kalau tak salah ingatan. 

Walaupun ada kesan yang agak menakjubkan timbul dari pemakaiannya terutama sebagai alas tempat tidur sambil beramal bersendirian, hati kecil saya kemudian menegur - bukan cara ini yang patut dibawa untuk mendapat jawaban mahupun maju ke hadapan, apa lagi untuk merapatkan diri dengan Allah Subhanahu Wata'ala. Mungkin apa yang boleh didapati dengan cara tersebut dianggap pencapaian yang tinggi oleh sesetengah orang. Pada saya lebih baik 'jahil' tidak bermain-main dengan alam jin daripada terpesong tetapi menyangkakan diri sudah 'sampai'.


Sesungguhnya bermacam-macam jenis ilmu pernah diraih dalam perjalanan hidup tetapi banyak yang telah dibatalkan sehingga jadi kosong, tidak memiliki apa-apa. Sampai satu peringkat saya digerakkan untuk mengambil apa yang dipanggil sesetengah orang sebagai jalan tajrid, penanggalan dari segala sesuatu. Di kala ramai 'mengumpul' zikir untuk ditabungkan ke dalam kalbu, saya juga berzikir tetapi tidak menabung. Ini kerana kalbu telah dijadikan ibarat tempayan bocor yang tidak dapat menampung atau mengumpulkan apa-apa. Biar Ilahi sahaja menentukan keadaan...

Jalan yang saya disuruh ambil ini ada disebut Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jalani sebagai jalan orang-orang yang remuk redam hati kalbunya. Dipalu, dipukul, ditikam, ditusuk dengan pelbagai ujian yang mencabar zahir dan batin, ada yang begitu pilu sehingga hati betul-betul remuk redam, tidak mampu menyimpan waima sekelumit zikir sekali pun. Ah... saya dah mula melilau akibat teringat hal lama. Lupakan itu. Kita masuk ke rumah...


Kelihatan rak-rak kayu yang dibuat khas untuk tanjak, tengkolok dan pakaian kepala tradisional yang lain. Kelihatan topi Meukotop Aceh diletakkan tanjak di atasnya. Ada juga songkok-songkok Bugis dan topi tradisional Jawa yang dikenali sebagai Belangkon.


Ruang makan.


Sekarang mari naik ke atas loteng yang dibina mengikut konsep rumah kampung.


Mula kelihatan kain pelbagai warna yang diletakkan malam Jumaat.


Selain itu sudah dipasang langsir-langsir yang dibawa dari rumah lama..


Ruang loteng ini mahu diberikan konsep tradisional Melayu campur sedikit perasa Arab dan Parsi. Walaupun belum siap sepenuhnya sekurang-kurangnya beberapa perkara besar yang lama tertunda sudah dapat dilakukan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan.


Anak-anak pun suka...


Naik ke loteng paling atas.



Ruang ini dibuat khas untuk saya beramal juga mendapatkan ilham. Semoga dengan perkongsian ini akan terbuka pintu ilham baru untuk penulisan buku juga langkah yang lebih maju buat diri dan keluarga. Tak lama lagi akan masuk malam Isra' dan Mi'raj. Semoga kita semua dapat menumpang keberkatan malam yang mulia itu. Amin... :]