Rabu, Jun 12, 2013

Antara Janda Baik, Bukit Tinggi dan Hospital Sungai Buloh

OK. Sampai masa untuk kembali menulis, setelah 8 hari siri tentang perjalanan ke Tanah Suci 1-12 April ditutup melalui artikel kompilasi Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... Kalau ikut giliran penulisan tentang perjalanan ke Makassar/Tanah Bugis 3-12 Mei harus menyusul kini (rujuk artikel pengenalan Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Satu pengenalan pagi Jumaat yang dibuat 5 hari setelah kembali dari sana). Namun saya rasa selagi tidak selesai menyajikan artikel-artikel tentang acara kelima HIKMAH yang berlangsung di Kuala Terengganu 5-8 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) (baru siang tadi dimulakan penceritaan) lebih baik cerita perjalanan Makassar/Tanah Bugis ditangguhkan. Dengan itu biar dibuat satu cerita yang sangat kena-mengena dengan keadaan saya sekarang...


Ini adalah gambar ketika pertama kali masuk wad di Hospital Sungai Buloh, Isnin 27 Mei 2013. Seingat saya ini adalah kali pertama harus masuk menjadi pesakit di mana-mana wad hospital mahupun klinik. Saya masuk kerana esoknya dijadualkan mahu menjalani pembedahan masuk besi akibat kecedaraan kaki. Rujuk artikel Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot yang dibuat pada hari saya mengalami kecederaan 23 April lalu. Setelah beberapa lama mengalaminya baru tahu kecederaan adalah lebih serius dari yang disangkakan lalu saya tiada pilihan kecuali dibedah masuk besi.


Dua hari sebelum masuk hospital saya dan keluarga keluar berjalan ke negeri Pahang. Ia adalah kali pertama berjalan agak jauh setelah dilanda kecederaan yang ada diceritakan agak terperinci pada bahagian terakhir artikel HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Dari dunia di luar matriks ke dinar dan dirham, dibuat di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) siang tadi.


Diikuti seorang rakan perempuan yang membawa seorang anak menaiki kereta lain kami masuk ke Janda Baik.


Ia adalah kali pertama saya dan keluarga ke tempat ini tahun 2013... terus menuju ke rumah penulis buku politik, Syed Hussein Al-Attas @ S.H. Alattas @ Pak Habib.


Kami picnic di tepi sungai, dalam kawasan rumah.


Ketika picnic inilah Pak Habib lalu dan menegur kami. Beliau baru tahu saya kecederaan kaki namun apabila diberitahu saya akan menganjurkan acara kelima HIKMAH di Kuala Terengganu tidak lama lagi beliau mengaku tahu kerana katanya ada mengikuti perkembangan diri saya melalui Internet.


Sesungguhnya tanah seluas 8 ekar diapit bukit dan sungai tempat Pak Habib membuat sekelompok rumah rehat berserta taman yang indah ini sentiasa segar dalam kenangan. Di sinilah saya pernah menetap awal 2002 hingga pertengahan 2005 sambil menolong Pak Habib menyiapkan sejumlah buku beliau. Dalam tempoh inilah saya mengutip ilmu cara-cara membuat buku. Walaupun dalam sesetengah hal saya tidak sekepala dengan Pak Habib yang dipanggil Abah, beliau tetap seorang insan yang pernah membantu saya mengenal lebih banyak tentang kehidupan.


Dahulu di sini, dan kemudian hampir setiap kali apabila bertandang di Janda Baik saya akan mengambil peluang mandi sungai. Kali ini apa boleh buat dengan kaki berbungkus begini? Tak pernah disangka akan mendapat kecederaan yang tidak pernah dialami sebelum ini, kerana selalu terasa diri cukup kuat dan lasak... boleh melompat ke sana ke mari tanpa menghadapi masalah, terlupa yang usia sudah menjangkau 43 tahun lalu tidak sekuat zaman muda lagi...


Puas mandi kami singgah ke rumah lama milik almarhum Raja Ashman ibni Sultan Azlan Shah Perak yang dibawa dari Gunung Semanggol sekitar atau lebih 10 tahun lalu.


Rumah ini dijaga oleh seorang kawan. Tengok-tengok dia dan beberapa orang tetamu sedang bersedia untuk jamming...


Ah. Dah berapa tahun tak jamming bersama kawan-kawan. Selalunya saya suka main lead guitar. Sesekali boleh gak layan vocal. Lihat video di atas.


OK. Tujuan kami keluar ke Pahang ini sebenarnya adalah untuk menyahut pelawaan seorang kawan agar bermalam di satu tempat di Bukit Tinggi. Kami ke Janda Baik dahulu kerana ia terletak hampir dalam perjalanan.


Kami agak ragu-ragu juga apabila jalan masuk yang ditunjukkan kelihatan mencabar. Sedangkan saya dan keluarga cuma naik kereta kecil  Kenari, bukan 4WD.


Ternyata selepas jalan kurang elok terdapat bahagian panjang bersimen, cuma agak curam. Apabila dah sampai baru terasa cukup berbaloi masuk ke dalam.


Manakan tidak? Pemandangan di sini memang cantik apalagi malam itu bulan mengambang...


Lihat sahaja pergunungan yang kelihatan, Banjaran Titiwangsa dari tengah kawasan tinggi hutan. Pada awal pagi kabus dan awan memberikan kesegaran.


Keluar sahaja bilik mata sudah disapa keindahan. Lihat artikel A private retreat at Bukit Tinggi di blogspot BERPETUALANG KE ACEH..


Esoknya Isnin 27 Mei saya pun masuk wad bersedia untuk menghadapi pembedahan. Namun petangnya harus keluar kerana pembedahan ditangguh ke hari Khamis akibat ramai orang sakit lebih memerlukan perhatian, Rabu baru masuk balik wad. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan pembedahan dapat diadakan dengan jayanya selepas Zuhur hari Khamis. Pagi Sabtu saya disahkan cukup sihat untuk keluar hospital, petangnya dapatlah kembali ke rumah.

Gambar di atas  diambil pada malam setelah kembali. Ketika itu baru tersedar dapat keluar itu pada tarikh 1 Jun, hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim dari Kedah. Pada pagi Rabu 5 Jun iaitu seminggu lepas dapat berlepas ke Kuala Terengganu bersama keluarga untuk HIKMAH V. Hari Jumaat atau pagi Sabtu 15 Jun ini pula saya dijadualkan ke Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sepupu di Parit Raja, Batu Pahat. Insyaallah selepas itu akan membawa adik-beradik ibu dan keluarga mereka berjumpa saudara-mara dari keturunan Daeng Betak di Pontian.