Ketika keluar sebentar itulah saya menyelesaikan cerita tentang Gua Hira' dan Jabal Nur. Kini saya sudah selamat dibedah selepas Zuhur hari Khamis dan semalam dibenarkan kembali ke rumah. Malam ini, setelah lebih sebulan memulakannya, biarlah siri "Ziarah dan umrah 2013" ini ditamatkan...
Pagi Khamis 11 April 2012 saya dan isteri keluar untuk membeli-belah sedikit barangan akhir.
Jam 10 pagi kami kembali ke hotel untuk mengemas dan menyiapkan barangan. Hari ini kami dijadualkan meninggalkan Mekah untuk ke Jeddah lalu mengambil kapal terbang kembali ke Malaysia. Selepas penundaan lebih satu hari perjalanan (rujuk kembali artikel
Ziarah dan umrah 2013 - Sampai Jeddah setelah lebih 26 jam tertunda... yang dibuat lebih sebulan lalu) saya berharap agar penerbangan kembali juga ditunda buat tempoh masa serupa agar dapat berada satu hari lagi di Mekah. Nampaknya tak dapat jugak. Tak dapatlah merasa hari Jumaat di Mekah.
Selepas bersiap kami harus melakukan Tawaf Wida' iaitu tawaf perpisahan di Baitullah. Maka tengah hari itu bergegaslah kami ke Masjidil Haram.
Bas ke Jeddah dijadualkan bertolak jam 5 petang. Sebaik sahaja selesai Tawaf Wida' kita harus meninggalkan Masjidil Haram dan bersedia untuk meninggalkan Mekah.
Selepas Tawaf Wida' kita tidak boleh lagi tidur walau sebentar pun untuk berehat di Mekah. Nak membeli-belah pun tak boleh kecuali sedikit untuk makanan. Sementara belum buat tawaf. saya dan isteri mengambil peluang berjalan-jalan, antaranya di satu kawasan yang menjadi tumpuan orang dari Bangladesh.
Kami membeli makanan di kedai seberang jalan lalu makan di sini. Saja je nak merasakan suasana...
Kemudian baru masuk masjid untuk solat berjemaah Zuhur.
Saya mahu menghabiskan sebanyak masa yang mungkin di Masjidil Haram sebelum meninggalkannya. Saya beritahu isteri biarlah kita buat Tawaf Wida' selepas Asar. Sementara itu kita berehat tidur di aras dua.
Di aras dua memang ramai orang melepak.
Seperti ada diberitahu dalam salah satu artikel siri "Ziarah dan umrah 2013" tiada masalah untuk suami isteri berehat berdekatan malah baring sebelah menyebelah di aras ini.
Ditakdirkan Allah SWT, bas ke Jeddah cuma bergerak selepas jam 8 malam. Nampaknya walaupun tidak dapat menghabiskan hari Jumaat di Mekah, sekurang-kurangnya harapan saya dapat bermalam Jumaat sedikit di kota suci termakbul.
Sejurus sebelum meninggalkan Mekah ada satu insiden kecil. Begitu juga selepas sampai ke Jeddah lebih kurang sejam kemudian. Tapi tak payahlah lagi bercerita hal-hal yang kurang menyenangkan. Apapun kami sudah diberi kelapangan melakukan ibadah lalu sampainya masa untuk kembali ke rumah.
Kami memasuki pesawat sekitar jam 1 pagi.
Kapal terbang kami mendarat di KLIA Jumaat 12 Jun sebelum jam 2.30 petang waktu Malaysia. Terbayang di kepala senyuman gembira berserta lambaian rindu dua anak kecil yang ditinggalkan di rumah saudara sepanjang perjalanan "Ziarah dan umrah 2013". Cukuplah cerita ya. Wassalam... :]