Rabu, Mei 30, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Membuka 'pencak' di makam Sunan Bungkul dan Ampel

Assalamualaikum. Setelah menyajikan 3 artikel awal pengenalan tentang perjalanan kami anak beranak ke Pulau Jawa 1-14 Mei baru ini iaitu Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Sneak previewPusing Pulau Jawa anak-beranak : Sedikit gambaran penceritaan setelah 14 hari berjalan... dan Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Dari perjalanan ke Surabaya sahaja bertukar menjadi perjalanan lebih 2,000 km pusing pulau, biar penceritaan sebenar dimulakan... penceritaan terperinci hari ke hari perjalanan. Mari... :]



Selasa 1 Mei 2012, cuti Hari Buruh. Kami pun membuka langkah untuk memulakan perjalanan ke Pulau Jawa.



Perjalanan ini dijangka lebih mencabar daripada perjalanan-perjalanan kami sebelumnya. Kerana satu, tiada seorang pun termasuk saya sendiri pernah menjejakkan kaki ke Pulau Jawa. Kedua, selain membawa anak kecil agak hyperactice, Muhammad Al-Aminul Rasyid yang berumur dua tahun setengah, kami juga membawa adiknya Muhammad Alauddin Johan yang baru berumur dua bulan setengah. Ketiga, perjalanan memakan masa 14 hari, paling lama kami anak beranak pernah keluar mengembara dalam satu sesi setakat ini. Walaupun saya pernah berjalan jauh hingga lebih sebulan, itu dibuat secara solo atau seorang diri. Jauh beza keadaan dengan membawa anak isteri yang keselamatan mereka perlu saya jaga, kena juga bawa barangan seperti lampin, susu dan sebagainya. Dan keempat, kami berhasrat mahu meliputi hampir seluruh Pulau Jawa, satu jarak atas darat tidak kurang 2,000 km menaiki pelbagai jenis kenderaan awam.


Cabaran menjadi lebih sengit apabila dua tiga hari itu kami sekeluarga dilanda demam selsema. Paling teruk apabila Johan yang masih bayi asyik terbatuk-batuk menangis Isnin malam Selasa sehingga ibunya hampir mahu membatalkan perjalanan ini. Jawab saya inilah antara dugaan apabila kita sudah bertekad membuat pengembaraan kerana Allah, pengembaraan menziarahi makam para wali selain menjejaki sejarah yang berkaitan dengan kedatangan awal Islam. Kalau dibatalkan sekarang kita bukan sahaja akan rugi duit tiket yang telah dibeli dan masa membuat rancangan dan sebagainya. Kalau pergi lain kali apakah jaminan kami atau anak-anak tidak dilanda sakit ketika sampai hari mahu pergi?


Alhamdulillah dengan kuasa Allah siang itu penyakit Johan kelihatan berkurangan. Kami makan tengahari dahulu di sebuah kedai berdekatan rumah abang ipar tidak jauh dari lapangan terbang di Sepang.


Kemudian abang ipar menghantar kami untuk mendapatkan penerbangan ke Surabaya jam 3.45 petang.


Kali ini kami tidak terkejar-kejar seperti halnya pernah berlaku dalam beberapa penerbangan dahulu. Pesawat juga berlepas pada waktunya. Kelihatan Rasyid begitu seronok walaupun inilah kali ke 9 dia menaiki kapal terbang. Mungkin kerana dalam penerbangan lalu dia belum cukup besar untuk betul-betul menyedari apa yang berlaku. 

Oh, kali pertama dia menaiki pesawat adalah ketika berumur tiga setengah bulan iaitu ke Banda Aceh Januari 2010. Kali ini dia cukup seronok melihat keadaan di dalam dan luar pesawat.  Lihat artikel Flying from Sepang to Surabaya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Johan yang pertama kali merasa menaiki pesawat pada umur sebulan lebih muda berbanding abangnya mungkin belum tahu apa-apa. Tetapi saya pasti pengalaman ini akan terpahat di dalam dadanya sekurang-kurangnya melalui minda bawah sedar...



Fakta bahawa ini adalah penerbangan Rasyid yang ke 9 seolah-olah selari dengan tujuan utama kami ke Pulau Jawa iaitu untuk menziarahi kesemua 9 makam para Wali Songo yang sangat terkenal di seantero Alam Melayu itu. Kami sampai ke lapangan terbang Juanda di pinggir tenggara bandar raya Surabaya pada waktunya iaitu sekitar 5.25 petang waktu tempatan bersamaan 6.25 waktu Malaysia. Ketika itu sudah masuk senja.



Kami dapati lapangan terbangnya cantik terjaga bersih. Rupa-rupanya Surabaya dinyatakan sebagai bandar raya terbersih di Indonesia...


OK. Pada awalnya, apabila melihat peta gambar satelit melalui Google Earth di Internet saya menyangkakan lapangan terbang terletak di bahagian utara Surabaya kira-kira 3 km daripada satu kawasan yang hendak dituju bernama Ampel. Fikir saya kalau mahu kami boleh berjalan kaki sahaja ke Ampel. Rupa-rupanya yang saya lihat itu cuma kawasan yang ditanda sebagai lapangan terbang entah oleh siapa.  Padahal ia kawasan berdekatan pelabuhan kapal laut... 

Lapangan terbang Juanda tempat kami mendarat sebenarnya terletak kira-kira 13 km ke tenggara pusat bandar raya. Nasib baik seorang teman di Malaysia telah lebih awal menghubungi kenalannya di Surabaya, seorang pemilik rangkaian kereta sewa agar menyambut kami di sana lalu membawa ke mana sahaja yang kami suka. Kalau tidak susah juga mahu mencari tempat yang hendak dituju...


Alhamdulillah hari pertama kami di Pulau Jawa bermula dengan selesa. Semasa melalui pusat bandar raya saya terlihat satu papan tanda menunjukkan arah ke makam seorang bernama Sunan Bungkul. Saya belum pernah mendengar nama itu namun terus meminta pemandu membawa kami ke sana. Kemudian baru saya tahu Sunan Bungkul ini seorang wali besar juga yang hidup sezaman dengan para Wali Songo. Beliau adalah bapa mertua kepada Sunan Giri,seorang Wali Songo yang sangat dikagumi ramai. Lihat artikel Makam (Tomb of) Sunan Bungkul di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ini pula adalah pemandangan daripada hotel tempat kami menginap di Ampel.


Ia adalah sebuah hotel yang dibina zaman Belanda. Umurnya hampir seabad!


Keadaan di jalan raya begitu meriah.


Tetapi anak-anak dan isteri sudah penat. Maka lewat malam itu, setelah mandi dan makan malam kemudian mendapatkan sedikit panduan tentang laluan yang perlu diambil saya keluar seorang diri untuk memastikan keadaan menuju ke makam utama yang mahu diziarahi di Surabaya. Itulah makam Sunan Ampel, orang yang pernah mengetuai pasukan Wali Songo. Esok nanti baru bawa anak isteri. Lihat Late night visit to the tomb of Sunan Ampel.



Nota : Tadi saya semak dengan Google Earth lalu mendapati perjalanan kapal terbang dari Sepang ke Surabaya yang memakan masa 2 jam 40 minit meliputi jarak sekitar 1,800 km. Perjalanan kereta dari lapangan terbang Juanda ke Ampel pula cuma 25 km tetapi boleh memakan masa lebih sejam akibat kesesakan lalu lintas sekitar bandar raya.