Selepas kembali dari pendakian Gunung Ledang dan jalan-jalan di Melaka saya lebih banyak berehat di rumah. Ini disebabkan kepenatan selain diserang batuk dan selsema, hari Rabu baru keluar ke Kuala Lumpur kerana menguruskan beberapa hal terutama berkaitan buku terbaru saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah".
Namun beberapa hari itu saya ada mendapat satu berita yang mengujakan. Di pekan Batu Arang yang terletak 3 kilometer akan diadakan sambutan besar-besaran 100 tahun kewujudannya. Kebetulan setiap petang Khamis ada pasar malam di pekan itu. Maka petang tadi kami anak-beranak pun ke sana...
Sesungguhnya kami sekeluarga memang suka bertandang ke sini. Selain jarak yang cukup dekat, ada satu feel yang menarik tentangnya.
Ia adalah satu pekan kecil yang klasik. Lihat balai polisnya...
Ini pula adalah serombong kilang batu arang yang terletak cuma sepelaung sahaja dari balai polis. Disebabkan perlombongan batu arang yang sangat pesat di sinilah suatu masa dahulu tempat ini mendapat nama.
Seberang jalan menghadap serombong adalah bangunan ini, saya pun tak pasti untuk apa tetapi berkenaan perusahaan batu arang juga.
Bahagian pekan yang terletak di satu-satunya bulatan jalan yang ada.
Di padang tengah pekan khemah-khemah sudah didirikan. Difahamkan 50 gerai telah ditempah untul jualan barangan dan pameran.
Pasar malam di tepi padang. Walaupun cuma ada 10 buah gerai atau lebih sedikit sahaja, ia tetap meriah bagi saya.
Bahagian pekan di hujung selatan padang.
Pada saya Batu Arang adalah contoh satu tempat di mana kaum Melayu, Cina dan India berinteraksi dalam harmoni.
Pada saya pekan yang unik dengan kesan-kesan perlombongan Batu Arang ini memang patut diwar-warkan kepada orang ramai. Saya dapat melihat tidak kurang 4 serombong di pinggir pekan dan 2 dapat dilihat dengan terang dalam gambar ini.
Oh. Untuk mereka yang berminat untuk ke sambutan 100 tahun Batu Arang, kedudukan pekan ada ditandakan dalam peta ini. Buka dalam windows baru untuk paparan lebih besar dan jelas. Perhatikan kedudukan berbanding bandar Rawang juga Bandar Tasik Puteri terutama dalam peta zoom in bawah.
OK. Biar diletakkan sedikit latar belakang yang dikutip dari laman "Batu Arang Heritage Town" di blogspot dan Facebook.
Sejarah Batu Arang
Batu Arang dulunya merupakan bandar perlombongan arang batu di Selangor, Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua hingga tahun 1960-an. Batu Arang berdekatan dengan Sungai Buloh, Rawang dan Batang Berjuntai.
Arang batu menjadi bahan bakar selain arang kayu dan kayu api. Ketika itu, Tanah Melayu tidak ada petroleum mahupun gas asli. Arang batu digunakan bagi menggerakkan kereta api sebagaimana di England.
Arang batu dilombong dengan mengorek lubang atau terowong di dalam tanah secara berperingkat-peringkat dan berlapis-lapis. Kaedah perlombongan ini amat berbahaya kerana tiang kayu sokongan mudah patah dan tanah akan runtuh. Pelombong akan terperangkap di dalam terowong, sesak nafas dalam gelap tanpa bekalan oksigen dan meninggal dunia.
Selain arang batu, Batu Arang juga dikenali dengan pengeluaran batu-batanya. Hari ini, ia tidak lagi membekalkan arang batu dan tidak lagi memainkan peranan penting. Ladang-ladang getah telah ditukar kepada tanaman kelapa sawit. Hak milik ladang kini bertukar tangan kepada syarikat Guthrie dan Golden Hope Plantation.
Pada zaman darurat 1948-1960, Batu Arang menjadi lokasi pertempuran utama antara pengganas komunis dengan pihak tentera British. Pengganas komunis sengaja sabotaj pokok-pokok getah di ladang-ladang, rumah majikan orang putih, lombong-lombong dan sebagainya. Kedudukan Batu Arang di kawasan berbukit-bukau dan sistem jalan raya yang berliku-liku menyebabkan lokasi ini amat strategik untuk pengganas komunis. Antara ladang yang menjadi sasaran ialah Ladang Tuan Mee. Pada masa itu hampir kesemua ladang dimiliki oleh peladang British dan pekerjanya dibawa dari Ceylon (Sri Lanka).
Pihak British terpaksa mengambil ramai pemuda Melayu untuk menjadi Special Constable untuk mengawal lombong dan ladang-ladang ini. Operasi utama mereka ialah di pondok-pondok kawalan pada sebelah malam. Antara yang pernah bertugas sebagai Special Constable di Batu Arang ialah Abdul Hanif bin Mohd Baki pada 1952.
Harapan saya agar pengendali laman-laman ini dapat menambah lagi artikel dan foto agar lebih ramai tertarik untuk mengenali Batu Arang, satu pekan yang berjaya menambat hati saya sebagai seorang penulis yang setakat ini sudah menghasilkan sendiri 3 buah novel Islami sejarah travelog iaitu siri trilogi "Berpetualang ke Aceh", menulis 2 coffee-table book atau buku mewah dengan dana Dewan Bahasa Pustaka (buku "Rumah Azan" dan "Kereta Api Menuju Destinasi"), menterjemah buku ilmiah sejarah "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu" ke dalam Bahasa Inggeris dan terbaru sekali, menulis dan menerbitkan sendiri buku mewah "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah". Tak percaya saya sudah tertambat hati dengan Batu Arang? Lihat beberapa artikel lama yang pernah ditulis dalam blogspot ini juga blogspots saya yang lain...
The quaint small town of Batu Arang
Masjid (mosque of) Batu Arang, Selangor
Pejabat pos (post office of) Batu Arang
The road from Batang Berjuntai to Batu Arang...
The lakes at Batu Arang
The lake I've just discovered near my house....
A relaxing afternoon at Batu Arang
Dari Batu Arang ke ITM Shah Alam
Jadi apa lagi? Luangkanlah masa untuk bertandang ke Batu Arang hujung minggu ini. Insyaallah kalau timbul rasa dan tiada halangan, saya akan turut mempromosi dan mempamerkan buku... dengan cara seniman jalanan gitu... :]