Isnin, Ogos 01, 2011

1 Ramadhan 1432 Hijrah dan reka bentuk terbaru buku





Assalamualaikum semua. Kalau ikutkan kebiasaan dan giliran saya seharusnya menyambung penceritaan hari ke 9 perjalanan ke Pantai Timur yang dibuat sekitar 7 bulan sebelum membuat apa-apa cerita lain... kerana artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Mencari tamadun awal Terengganu? yang dibuat 3 hari lalu baru menyentuh setengah sahaja aktiviti hari tersebut. Sedangkan sejak memulakan siri ini lebih 3 bulan lalu saya cuma akan bercerita perkara lain atau membuat artikel selingan apabila tamat penceritaan untuk satu hari. Namun hari ini 1 Ogos 2011 saya terpanggil untuk memecah kebiasaan.

Sempena hari ini masuk 1 Ramadhan 1432 iaitu hari pertama kita berpuasa wajib sebulan untuk tahun ini biar diketengahkan reka bentuk terbaru untuk kulit buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" yang sedang diusahakan. Adapun reka bentuk ini dibuat ketika beriktikaf di surau tempat saya biasa bermalam apabila bertandang ke Kampung Janda Baik, Pahang sejak beberapa tahun kebelakangan. Saya, isteri dan anak kecil kami telah berlepas ke kampung itu petang Sabtu sebelum bermalam di rumah almarhum Nenek di Raub. Petang Ahad semalam kami masuk lagi ke kampung tradisional Melayu di atas kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa itu lalu bermalam di surau. Jam 5 pagi tadi kami keluar untuk bersahur di Genting Sempah. Selepas isteri dihantar ke tempat kerja di Kuala Lumpur saya pun kembali ke rumah.

Reka bentuk ini asalnya mahu diletakkan di Facebook untuk mendapatkan maklum balas kawan-kawan dan kenalan tapi entah kenapa susah sangat nak masuk websitenya tadi. Maka itu saya rasa elok juga diletakkan di blogspot sebagai ganti apa lagi hari ini 1 Ramadhan. Seharusnya saya ada sedikit kata-kata untuk para pembaca yang dikasih sempena hari yang mulia ini. Tetapi disebabkan menurut kebiasaan saya harus menyambung dahulu penceritaan perjalanan ke Pantai Timur dan ini memerlukan proses penyediaan artikel-artikel sokongan yang memakan banyak masa dan tenaga saya awalnya tidak mahu membuat apa-apa artikel hari ini.

Dengan takdir Allah saya menghadapi masalah untuk memasukkan gambar reka bentuk buku ke Facebook lalu tergerak untuk memaparkannya di sini. Untuk melihat lebih teliti klik pada gambar atau buka dalam windows baru. Dengan itu selain meminta pembaca untuk memberikan maklum balas biar diucapkan selamat berpuasa kepada semua. Semoga kita semua dapat menjadi lebih elok daripada dahulu zahir dan batin. Itu saja!

Oh... ini adalah artikel ke 878 di blogspot ini. Harap maklum... :]