Jumaat, September 03, 2010

Misi menjejak sang Merong hingga ke Hatyai?

Subhanallah, maha suci Allah. Sedar tak sedar tinggal tak sampai seminggu lagi kita perlu berpuasa Ramadhan dan sudah seminggu juga saya tidak membuat apa-apa artikel baru di mana-mana blogspot saya. Sebenarnya baru-baru ini saya telah membawa isteri dan anak keluar berjalan jauh lagi. Dari malam Jumaat minggu lepas hinggalah ke awal pagi Rabu 2 hari lalu kami berjalan-jalan di sebelah Utara... dari rumah ke Taiping membawa ke Selama, Kulim, Sungai Petani sempat naik Gunung Jerai sebelum 'bermarkas' di Alor Setar.

Demi memenuhi satu pesanan yang isteri dapat dalam mimpi, kami menginap 3 malam di serambi sebuah surau di tepian kubur di Langgar. Dari situ kami mengatur perjalanan... hari Sabtu masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam hingga ke Hatyai sebelum kembali ke Malaysia melalui Padang Besar, Perlis, sempat ke Tasik Timah Taso, Kangar dan Kuala Perlis lalu berbuka puasa di Arau. Hari Ahad pula kami ke Bukit Pinang, Jitra, Gunung Keriang dan beberapa tempat sekitar Alor Setar. Hari Isnin kami meninggalkan ibunegeri Kedah lalu singgah di Yan, Tanjung Dawai, Merbok, Kota Kuala Muda dan Pantai Merdeka. Dari sana kami masuk ke Seberang Perai lalu menginap di Georgetown. Perjalanan pulang pula dimulakan hari Selasa... singgah di Bukit Juru, Pulau Aman, Tasik Bukit Merah dan Gunung Semanggol sebelum masuk ke Taiping dan Kuala Kangsar, sampai ke rumah awal pagi Rabu.

Adapun perjalanan ini asalnya dibuat semata-mata kerana satu sebab... untuk mengambil gambar terbaru makam Sultan Muzaffar Shah I di Pengkalan Bujang. Untuk makluman, sejarah rasmi menyatakan baginda adalah raja Kedah yang pertama memeluk Islam, memerintah 1136-1179 Masihi. Namun ada pihak menyatakan yang dikatakan makam Sultan Muzaffar Shah I itu adalah milik seorang raja besar yang dikenali sebagai Merong Mahawangsa dan menurut mereka raja ini datang ke Kedah sekitar tahun 770 Masihi gitu. Apapun, asbab asal mengambil gambar telah membawa saya tergerak untuk membawa isteri dan anak berjalan ke merata tempat. Sukacita dimaklumkan satu siri tentang perjalanan terbaru ini akan dipersembahkan di blogspot ini nanti, Insyaallah selepas tamat siri tentang perjalanan ke Brunei 1-8 Ogos yang dijadualkan akan menemui pembaca selepas Hari Raya nanti.

p/s:
Ini adalah artikel ke 727 di blogspot ini.