Rabu, Disember 23, 2009

Bayangan Bukit Qaf, tempat perkumpulan para wali dan malaikat?

OK. Selain memulakan siri baru "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan", saya juga sepatutnya telah menyambung kembali proses penulisan, mengumpul data juga membuat rekaletak serta rekabentuk sebuah buku tentang sejarah keluarga sebelah ibu. Sebaliknya momentum pekerjaan saya masih rasa terganggu akibat beberapa perkara tertentu dan fikiran seperti melangut-langut ke arah lain pula. Maka sekali lagi biar dibuat satu selingan ya... kiranya bersambung daripada artikel Al-Rasyid di majlis buku dan puisi di Bangsar...


Selepas majlis di Bangsar, kami singgah di rumah seorang bapa saudara di Bukit Damansara. Kami berbual panjang setelah tidak bertemu hampir 2 bulan, sementara di luar sana hari mula hujan. Perbualan tamat ketika langit kembali terang. Entah kenapa langit kelihatan cantik semacam... begitu juga keadaannya ketika kami menghampiri Bandar Tasik Puteri, sekitar 40 km perjalanan...


Oh. Ketika itu sudah masuk senja. Sayang sungguh kamera saya tidak dapat menangkap keadaan sebenar di langit iaitu di celah cahaya kejinggaan yang kelihatan dalam gambar sebenarnya terdapat latar-belakang warna biru yang tona warnanya seperti ada kehijauan di luar kebiasaan. Isteri saya bertanya jika keadaan langit itu menandakan sesuatu. Saya pula teringat tentang cerita Bukit Qaf, satu alam di luar bumi kita tetapi bersambung entah di bahagian mana, alam yang menurutnya dihuni para malaikat dan menjadi tempat perkumpulan manusia bertaraf wali...

"Mungkin yang kelihatan ini adalah bayangan Bukit Qaf?" saya memberitahu isteri. Memang ada cerita menyebut warna biru langit itu sebenarnya biasan cahaya dari Bukit Qaf. Kenyataan ini mungkin kelihatan bodoh dan layak untuk ditertawakan oleh mereka yang sudah belajar ilmu sains. Menurut sains, warna biru langit di siang hari adalah disebabkan biasan cahaya matahari pada atmosfera bumi yang melindungi kita dari kegelapan angkasa lepas.


Dahulu saya juga akan mentertawakan sesiapa sahaja yang berkata begitu. Maklumlah saya amat berbangga dengan imu sains yang pernah dipelajari apalagi saya adalah graduan matematik daripada University College of London, universiti yang baru sahaja dinobatkan sebagai yang ke-4 terbaik di dunia dalam semua bidang, selepas universiti-universiti Harvard dan Yale di Amerika Syarikat diikuti Cambridge di United Kingdom. Kini, setelah melalui pengalaman-pengalaman tertentu saya bukan sahaja percaya tentang kewujudan Bukit Qaf yang bayangannya dikatakan membentuk warna biru langit yang kelihatan di siang hari... saya juga percaya pendaratan manusia ke bulan yang katanya dibuat oleh Neil Amstrong dan kawan-kawannya tahun 1969 adalah satu penipuan besar.


Saya tahu saya juga boleh ditertawakan orang apabila membuat kenyataan begini. Mungkin ada yang menyoalkan betulkah saya ini graduan matematik daripada London? Kalau betul, kenapa boleh jadi begitu bodoh dan dungu percaya kepada benda-benda karut yang berlawanan dengan sains? Hmm... saya tak kisah jika ditertawakan. Kalau ada yang menyoal tentang kelayakan saya di universiti (kerana di dunia Internet ini memang ramai orang suka mendakwa memiliki kelayakan itu dan ini) anda boleh bila-bila masa menghubungi pihak mereka.

Sehingga kini saya masih lagi menerima surat-surat daripada University College of London tentang perkembangan semasa di sana malah dijemput menghadiri pelbagai acara termasuk sambutan menyambut pengisytiharan universiti ini sebagai yang ke-4 terbaik di dunia, diadakan di Bukit Damansara bulan lalu. Apapun itu semua cerita lain. Di sini saya ingin memberitahu, sebaik sahaja saya menyebut tentang Bukit Qaf kepada isteri, seketika itu juga kereta kami dipotong oleh sebuah kereta lain yang nombor pletnya adalah "KAF 6555".

Kereta itulah yang saya ekori sejauh beberapa kilometer untuk mengambil gambar pletnya tetapi tidak berjaya. Keadaan cahaya yang semakin berkurangan ditambah kenderaan bergerak tidak memungkinkan saya untuk mengambil gambar yang cukup jelas. Gambar terakhir di atas yang kelihatan seperti 3 buah piramid itu pula adalah gambar bumbung khemah gerai di kawasan kedai-kedai di Bandar Tasik Puteri berlatar-belakangkan langit yang semakin kelam. Tetapi ia masih cukup menakjubkan sehingga terhasillah satu gambar agak misteri tanpa perlu langsung diberi apa-apa sentuhan tambahan. Sekian...


Nota: Ini adalah artikel ke 609 di sini...

Al-Rasyid di majlis buku dan puisi di Bangsar...

Hmm. Saya masih belum tergerak untuk memulakan siri penceritaan baru "Pengembaraan Al-Rasyid" ke selatan. Sementara itu biar dilepaskan dahulu cerita lain ya...

Jika Sabtu baru ini saya telah membawa isteri dan anak menghadiri seminar "Beting Beras Basah" di Wisma Sejarah bersebelahan Perpustakaan Negara diikuti majlis perkahwinan di Janda Baik (lihat artikel Seminar Beting Beras Basah, keluarga Al-Shahab dan faktor 191 ), Ahad keesokannya pula saya membawa mereka ke Bangsar untuk menghadiri satu majlis seni...

Majlis ini melibatkan buku-buku...

Ia bermula dengan pelancaran 5 buah buku baru, dilancarkan oleh tetamu kehormat sasterawan negara A. Samad Said...


Pelancaran ini diikuti satu majlis diskusi buku...



Antara tetamu yang hadir adalah orang-orang Aceh yang datang dari Jakarta...




Oh. Sebenarnya buku-buku ini ditulis oleh Profesor Dr Siti Zainon Ismail. Pelancaran buku dibuat sempena hari itu juga ulangtahun beliau yang ke 60!





Turut hadir adalah bekas menteri kabinet, Tan Sri Sanusi Junid yang berdarah Aceh. Adapun premis tempat pelancaran buku ini berlaku adalah sebuah rumah peranginan di bawah pengawasan beliau sedangkan Siti Zainon adalah seorang yang sangat meminati budaya Aceh. Malah salah sebuah buku yang dilancarkan adalah tulisan Siti Zainon tentang masyarakat Aceh. Sebab itu Sanusi menawarkan rumah peranginannya sebagai tempat pelancaran buku.

Apa yang menarik adalah pengakuan Sanusi sendiri betapa dewan kecil tempat diskusi buku dijalankan pernah menyaksikan satu operasi penting berlaku. Di sini nasib Melayu di bawah pemerintahan lalu yang menyaksikan ia digempur oleh kepentingan bangsa lain dari segenap penjuru pernah dibincangkan secara mendalam, di sini juga usaha untuk menukar pemerintahan agar pemulihan dapat digerakkan berlaku.





Selepas diskusi buku, hadirin dibawa naik ke atas kembali untuk acara deklamasi puisi...
















Pelbagai gaya membaca dan menghidupkan puisi menghiasi acara...







Namun saya lebih tertarik pada yang akan datang ini...




Saudara Pyanhabib, seorang penggiat seni yang pada tahun 80an sering juga dilihat menyuarakan segala macam lontaran idea di kaki lima Pasar Seni...






Akhirnya setelah dipanggil beberapa kali, baru penggiat seni yang sebenarnya cacat pendengaran ini sudi mendeklamasikan puisi...





Majlis ini juga menyaksikan ramai lagi insan seni mempamirkan bakat masing-masing termasuk Siti Zainon sendiri. Kelihatan anak saya Muhammad Al-Aminul Rasyid yang kini berusia 10 minggu begitu gembira. Sekian...