Isnin, Ogos 17, 2009

Artikel ke 555: Betul ke keluarga saya dahulu menyimpan Taming Sari? Apa pula kena-mengena dengan Sultan Malikus Saleh?


Lari sejenak dari kisah Aceh. Ke ada kena-mengena jugak?

Assalamualaikum. Ini adalah artikel ke 555 di blogspot ini, satu nombor yang cantik... boleh disebut tiga 5 (3 x5) macam orang biasa sebut rokok tiga 5 kot (memang ada 555)? Adapun sebaik sahaja menyedari bahawa artikel sebelum ini, Berkejar ke Lampuuk... tempat matahari terbenam cantik dan masjid paling teruk diserang tsunami adalah ke 554, maka seharusnya artikel seterusnya iaitu yang ke 555 mestilah sesuatu yang istimewa... maklumlah, saya kan ada gila-gila nombor?

Memandangkan artikel ke 554 itu menutup segala cerita perjalanan hari Selasa 16 Jun 2009 iaitu hari kedua saya dan isteri berada di Aceh, saya rasa elok juga artikel ke 555 itu akan menyebut nama Sultan Malikus Salih kerana perjalanan di Aceh seterusnya iaitu pada hari Rabu dibuat dengan niat untuk menziarahi makam baginda sekitar 400 km perjalanan ke tenggara Banda Aceh. Maka itu jika saya masih malas untuk menghuraikan perjalanan itu pun, saya boleh sahaja membuat artikel ke 555 dengan menyebut rancangan untuk ke sana, rancangan yang ternyata akan menjadi sambungan kepada perjalanan lama ke Aceh bulan Januari 2004, perjalanan yang pernah tergendala akibat darurat masa lalu.

Sebaliknya lewat malam ini, dalam membuat sedikit kajian tentang Perak di Internet, saya terjumpa satu artikel dari Wikipedia yang mengaitkan moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dengan keris Taming Sari milik Hang Tuah yang amat terkenal itu, satu perkara yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Yang peliknya, artikel berbahasa Melayu tentang keris ini tidak menyebut apa-apapun tentang kaitan dengan Laksamana Perak itu tetapi artikelnya yang berbahasa Inggeris di http://en.wikipedia.org/wiki/Taming_Sari pula menyebutnya panjang lebar.

Sebenarnya saya terjumpa artikel itu setelah menelaah isi-isi sebuah blogspot. Blogspot itu memasukkan artikel daripada Wikipedia ini bulan Jun bermakna sudah lama juga ia ditulis begitu... atau lebih tepat 24 Jun, sejurus selepas saya dan isteri kembali daripada Aceh 22 Jun. Cuma saya sahaja yang baru tahu malam ini! Penemuan yang memeranjatkan ini membuat saya terasa mahu membuat sebuah artikel baru di blogspot saya yang berbahasa Inggeris iaitu BERPETUALANG KE ACEH .

Kebetulan artikel baru bertajuk What is the relationship between Taming Sari and my family? itu adalah yang ke 360 di situ, kemudian saya terasa harus berkongsinya pula di sini. Terasa pula nombor 360 itu seperti 360 darjah membuat satu pusingan diikuti dengan nombor 555 yang bersamaan 5 berulang 3 kali... melibatkan moyang saya dengan keris Taming Sari ketika artikel nombor 555 ini asalnya dimaksudkan untuk Sultan Malikus Salih. Ada apa-apa ke?