Jumaat, Disember 21, 2007

Dunia sebagai tempat "senda gurauan"...

Gambar kera di Tanjung Emas, Muar sebagai hiasan...






Dan tiadalah kehidupan ini, selain dari main-main dan senda-gurau belaka.
Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.
Maka tidakkah kamu memahaminya?



- Surah Al An'aam, ayat 32







Assalamualaikum semua. Adapun saya kini berada di Muar setelah menyambut Hari Aidil Adha bersama keluarga di kampung ibu, Kampung Temiang semalam. Menyedari sudah beberapa hari tidak membuat apa-apa pembaharuan dalam mana-mana blogspot saya, terutama di blogspot BERPETUALANG KE ACEH di mana seorang pembaca telah menegur saya kerana sudah agak lama tidak membuat posting, tergerak pula untuk menyambungnya... Lalu selesai solat Jumaat di Masjid Jamek Muar (sila masuk ke Masjid Jamek (main mosque) of Muar... untuk membaca tentang masjid ini) saya pun bergegas ke Internet. Hasilnya adalah posting-postings berikut... Silalah jenguk...


Kemudian baru teringat, hari ini adalah 11 haribulan Zulhijjah... Maka memang sesuailah saya membuat pembaharuan kerana memang ramai sedia maklum saya sukakan nombor 11.

Untuk update di blogspot ini pula biarlah dikutip sedutan daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III ya... Memandangkan ada pembaca bertanyakan tentang Hang Tuah di chat-box lalu saya pula tergerak untuk menjawab dengan persoalan "pemecahan wajah" yang mampu dilakukan sesetengah wali, biarlah sedutan dibuat daripada bab bertajuk "Lagi catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah"...



------------------------------------



Bayangkan sebuah ruang-tamu luas lagi selesa dengan set televisyen besar 60 inci, cukup dengan home theate surround sound system tercanggih... Sangat canggih sehingga anda dapat merasakan diri anda seolah betul-betul masuk ke dalam cerita setiap kali memainkan suatu VCD ataupun DVD. Kalau dimainkan cerita Spiderman, jadi Spidermanlah anda. Sesekali terasa gayat bila bergayut dari satu bangunan ke satu bangunan tinggi. Ada masa lain anda terasa syok apabila Mary Jane merenung mata penuh makna…

Bila cerita Incredible Hulk dimainkan pula, anda dapat merasakan kemarahan yang tidak terhingga di samping satu macam kepuasan yang tidak dapat dibayangkan apabila dapat menghancurkan bangunan demi bangunan, memegang muncung kereta kebal dengan tangan sasa kemudian menghayunkan ia sejauh mana yang anda suka. Terasa betapa gagah diri anda dengan otot-otot besar tersembul keluar walaupun warnanya hijau seperti daun keladi... Pendek-kata, sukahati anda mahu jadi apa, asalkan memiliki VCD ataupun DVD yang berkenaan… Yalah, kalau tidak ada VCD Batman tetapi dipasang cerita Spiderman kemudian berangan-angan jadi Batman, bukankah tidak kena? Bagaimana mahu mendapat kepuasan menonton sesuatu cerita tanpa menjiwai watak yang sepatutnya?

Cuma ingat... Walau cerita apapun dipasang, ia tetap sekadar cerita… Bila habis cerita, bawa keluar VCD ataupun DVD, simpan balik dalam cover. Kemudian letak ke dalam almari. Atau biarkan bersepah atas lantai. Apapun, cerita sudah habis. Sampailah masa untuk kembali ke alam realiti...

Sekarang, lihat kembali koleksi VCD dan DVD yang dimiliki. Berbagai-bagai cerita ada, bermacam-macam watak berlatarbelakangkan pelbagai zaman, peristiwa dan lokasi. Maka terbitlah beraneka ragam dan rasa yang boleh ditonton dan dinikmati tanpa perlu mewujudkan apa-apa kaitan antara satu cerita dengan cerita yang lain. Kalau mahu diwujudkan pun boleh, kalau tidak buat pun tak mengapa. Tiada siapa yang memaksa...

Anda boleh meletakkan VCD Spiderman di sebelah VCD Incredible Hulk atas dasar kedua-duanya adalah cerita superhero di Amerika. Atau diatur mengikut tajuk, ikut susunan abjad atau alphabetical order. Tetapi selalunya orang tidak peduli semua ini, terus sahaja letak di mana-mana ruang ataupun rak kosong…. Anda juga boleh mengatur serapat yang mungkin segala koleksi VCD dan DVD yang dimiliki, mungkin dilonggokkan secara bertingkat-tingkat supaya tidak bersepah dan memakan ruang. Sukahatilah hendak diatur bagaimana. Tiada siapa boleh melarang…

Sekarang cuba fikirkan… Lihat balik VCD dan DVD yang diatur, setiap satu mengandungi sebuah cerita. Lihat, bagaimana jarak di antara dua cerita tidak sampai pun seinci (lebar cover VCD). Kalau covernya plastik nipis lagilah dekat padahal antara satu cerita dengan cerita yang lain, mungkin wujud perbezaan masa beribu tahun, juga jarak tempat yang entah berapa ribu batu malah berjuta-juta Light-years atau Tahun Cahaya!

Cerita seperti Star Wars mungkin berlaku di galaksi paling jauh boleh dibayangkan imaginasi sedangkan cerita yang terkandung di dalam VCD yang tertindih betul-betul di atasnya mungkin berlatarbelakangkan Kampung Congo, di Malaysia. Tetapi anda tidak kisah semua ini... Jarang mahu berfikir betapa ajaib sebenarnya ia. Fikirkan betapa ‘dekatnya’ jarak cerita-cerita tersebut jika dilihat dari segi fizikal VCD yang mengandungi sesuatu cerita tetapi begitu jauh dari segi perbezaan isi cerita... Betapa ini boleh memberikan kefahaman tentang kata-kata keramat yang menyebut syurga dan neraka itu lebih dekat daripada urat leher kamu sendiri!

Yang penting, kita dapat menghayati dan menikmati sesuatu cerita, menjiwainya sehingga dapat kepuasan menonton. Itulah matlamat sebenar menyaksikan sesuatu cerita, tidak kiralah apakah message yang terkandung di dalamnya asalkan merangsang jiwa... Kalau tidak puas, kalau terasa jemu, sakit, tidak dapat menikmati dan menjiwainya, buat apa ditonton? Ibarat mendapat isteri cantik tetapi tidak ada selera. Baik jangan kahwin. Buang masa sahaja. Lebih elok tidur atau ‘melantak’ nasi seperiuk. Sia-sia sahaja beli televisyen 60 inci dengan home theater system tercanggih kalau tidak dapat kepuasan menonton, tidak dapat rasa diserapkan ke dalam cerita.

Begitulah juga dunia ini pada para Ariffin, orang-orang yang Arif (bukan hakim di mahkamah ya!), orang-orang yang benar-benar mengenali hakikat keTuhanan, juga hakikat kejadian alam ini dan segala yang wujud di sebaliknya. Dunia ini tidak lebih dari satu cerita yang di dalamnya terkandung entah berapa ribu malah berapa juta cerita lagi. Cerita di dalam cerita… Yang penting adalah nikmat hidup apabila dapat menjiwai cerita, nikmat sebagai seorang Syahid yang MENYAKSIKAN kebesaran Allah.

Bagi mereka yang betul-betul menyedari dunia ini ibarat cerita dalam VCD, mereka boleh membuat pilihan samada mahu menonton sehingga selesai atau pausekan, tunda sebentar untuk membuat kerja lain. Atau berhenti langsung dan tukar VCD cerita baru. Sukahatilah hendak dibuat bagaimana kerana mereka telah melangkaui adat, jarak dan masa…

Dalam perkiraan orang-orang sebegini, tidak perlu wujud tarikh dan lokasi. Yang penting adalah watak-watak dengan ruang dan masa sebagai latarbelakang cerita. Sebab itu cerita-cerita lama seperti Hikayat Hang Tuah tidak mengandungi apa-apa tarikh dan seringkali berselilih dengan sejarah rasmi yang boleh diterima secara akademik sehingga ada menganggapnya sekadar mitos untuk menaikkan semangat Melayu di samping menyokong dan mendaulatkan pihak istana supaya terus ‘disembah’ rakyat-jelata. Sebab itu juga boleh wujud sesuatu watak di suatu zaman, kemudian ditemui lagi watak yang sama di zaman yang lain, pada tempat yang berlainan pula...

Kita yang terperangkap di dalam cerita, terperangkap dalam ruang dan masa pun menjadi hairan. Aitt? Bagaimana orang yang sama boleh wujud pada dua zaman dan tempat yang berlainan? Impossible! Tidak ilmiah. Tidak ada dalam kurikulum semasa aku membuat PhD dalam Nuclear Physics dahulu. Mana boleh ini… Maka peninglah kita untuk memahami keadaan sebenarnya. Sedangkan orang-orang yang faham cuma tertawa menggelengkan kepala… Ish... ish... ish... Kasihan orang zaman sekarang, ada teknologi canggih, ada ‘langit terbuka’ tetapi masih tidak faham lagi hakikat dunia? Sibuk terkejar ke sana ke mari, kejar masa, kejar duit, kejar betina. Tidak sedar lagi yang apa yang dikejarnya cuma bayang-bayang sahaja, cuma fatamorgana yang tidak mempunyai erti kewujudan sejati…



Nota: Setiap sedutan daripada BKA yang dibuat diletakkan terus sepertimana rupanya di dalam buku. Maka itu turut kelihatan apa-apa kesilapan typo yang dibuat misalnya perkataan "berselilih" (sepatutnya "berselisih") dalam perenggan kedua terakhir tadi. Harap maklum...