Pagi tadi selepas mandi, baru saya tersedar terdapat beberapa miss-call dalam telefon bimbit saya... Rupa-rupanya daripada beberapa orang kenalan dan saudara-mara. Bila dihubungi balik, masing-masing sebenarnya hendak memberitahu perkara yang sama iaitu ulasan mengenai buku kedua saya, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" telah keluar dalam ruangan sastera akhbar Berita Harian hari ini.
Saya pun turun ke ruang tamu untuk meneliti akhbar itu. Sudah menjadi kebiasaan warga rumah ibu saudara tempat saya menumpang di Ampang sekarang untuk membeli beberapa jenis akhbar harian sebagai santapan minda pagi hari.
Alhamdulillah, saya dapat melihat ulasan yang diberikan. Nampaknya ia lebih terserlah berbanding ulasan yang diberi untuk buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang dibuat tahun lepas.
Kebetulan hari ini timbul keinginan yang kuat untuk menziarahi kawan-kawan di Kampung Janda Baik, Pahang. Setelah menyiapkan barangan yang perlu, saya pun berjalan kaki ke Ampang Point untuk membeli akhbar Berita Harian buat simpanan (tak mahu kacau akhbar di rumah ibu saudara), kemudian menaiki bas untuk makan tengahari di sekitar KLCC.
Selepas itu, saya berjalan kaki ke stesyen Bukit Nanas sebelum menaiki monorail ke Pekeliling di mana terdapat perkhidmatan bas ke Pahang. Niat awalnya adalah untuk terus mengambil bas dan turun di Bukit Tinggi, perhentian terdekat untuk ke Janda Baik bagi perkhidmatan bas Kuala Lumpur-Bentong-Raub.
Di Pekeliling, timbul pula rasa untuk masuk ke Internet Cafe berdekatan dan melihat perkembangan terbaru di dunia Siber. Lalu saya tergerak untuk membuka edisi On-Line Berita Harian, masuk ke bahagian Sastera dan melihat ulasan mengenai BKA II yang terdapat di dalamnya... Timbul pula rasa untuk mengabadikan ulasan itu di dalam blogspot ini, lebih-lebih lagi apabila mengingatkan bagaimana ulasan-ulasan untuk BKA I telah tenggelam di dalam timbunan fail-fail lama sementara keratan akhbar yang pernah disimpan telah lama hilang.
Sayangnya, ulasan On-line itu tidak menyertakan gambar, tidak sepertimana yang terdapat di dalam naskah harian. Nasib baik teringat saya ada membawa kamera digital di dalam beg poket. Lalu dengan kamera itulah saya mengambil gambar di atas untuk dikongsi bersama di sini.
Apapun, inilah ulasannya... Bacalah! :]
-------------------
Jejak Kreatif:
Dulu mencari kini membela
Oleh Wan Noor Zurita Wan Hassan
MANTAN wartawan sukan akhbar New Straits Times, Mohd FahrulRadzi Sapiee, 37, atau lebih dikenali sebagai Radzi Sapiee muncul dengan novel keduanya, Berpetualang Ke Aceh: Membela Syiar Yang Asal untuk dikongsi bersama pembaca.
Novel ini mengisahkan pengembaraan mengenal asal usul diri dengan menyusuri 1200 tahun kaitan bumi Serambi Makkah (Aceh) dengan Nusantara dunia Islam, makna Melayu dan perjuangan akhir zaman.
Teks setebal 304 halaman terbitan Wasilah Merah Silu Enterprise berharga RM24.90 senaskhah ini adalah kesinambungan cerita daripada novel pertama beliau, Berpetualang Ke Aceh: Mencari Diri Dan Erti.
Radzi berkata, beliau banyak membuat kajian lisan dan tulisan mengenai sejarah seperti yang tercatat dalam Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) dan cerita Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani bagi menghasilkan karyanya ini.
"Ini saya lakukan dengan hasrat membawa pembaca meneliti dan memahami sejarah Melayu lama yang barangkali sebahagian besar daripada generasi hari ini tidak mengetahuinya," katanya dalam wawancara dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Novel ini membawa pembaca mengetahui mengenai Sultan Malikul Mansur, Kesultanan Melaka, Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda, puncak kegemilangan Aceh dan kemunculan Aceh sebagai kuasa besar.
Di antara bab dalam novel ini ialah Mukadimah: Jihad dan Raja-raja, Malikul Mansur: Pewaris Yang Disisihkan, Kesultanan Melaka: Kesinambungan Pasai ke Aceh, Munawar ke Mughayat: Kemunculan Aceh Sebagai Kuasa Besar, Demokrasi vs Raja-raja: Satu Sisipan Tambahan, Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda: Puncak Kegemilangan Aceh serta Penutup: Perang Aceh-Portugis di Melaka 1629.
Novel ini merakam pengalaman penulisnya yang tiba-tiba hilang minat terhadap bidang kerjaya awalnya, lalu beralih ke arah pemikiran yang cenderung bersifat kerohanian mahupun keagamaan.Peralihan minat ini juga mendorong pengarangnya berkelana ke sana ke mari termasuk Aceh selama dua tahun bagi mencari jawapan kepada segala persoalan yang membelenggu fikirannya.
"Saya bukan sekadar menulis cerita, tetapi ia juga suatu pengorbanan dan perjuangan dalam mencari kebenaran untuk dikongsi bersama pembaca novel ini. Itu sebahagian daripada harapan saya," katanya.
Mohd FahrulRadzi yang turut bertindak sebagai penerbit dan pereka letak novelnya itu mengakui pelbagai masalah dan rintangan dihadapi dalam tempoh setahun untuk menyiapkan novel terbabit.
"Novel ini menimbulkan sedikit kontroversi kerana tafsiran tersendiri mengenai sejarah Melayu dan Islam selain Berpetualang yang menjadi judul berkemungkinan dirasakan tidak sesuai dengan sentimen masyarakat negara ini," katanya.
Pengarang ini menggabungkan fakta dan fantasi melalui perjalanan hidup dan pemikiran watak, Muhammad Al-Aminul Rasyid yang membawa pembaca pergi menyelami dunia pengembaraan yang membabitkan perkara pelik dan ghaib selain pengajian ilmu tasawuf.
Graduan Matematik, Kolej Universiti London ini berharap novelnya ini dapat dijadikan sempadan dan teladan berdasarkan kisah pengalaman hidup dan unsur kerohanian untuk menjadi insan mulia.
Selain itu, novel bernada keagamaan ini mengajak pembaca menghargai jati diri orang Melayu yang berpegang teguh pada nilai bangsanya dan mendorong pembaca berfikir mengenai masa lampau yang tidak pernah dimengertikan sepenuhnya.