Jumaat, Februari 23, 2007

Laksamana pulang ke Perak: Membuka detik baru di Muar

Di sini adalah edisi ke 4 segmen "Laksamana pulang ke Perak" untuk akhbar tabloid Kencana. Oleh kerana ia telah pun keluar dalam tabloid untuk Feb 1-15, maka bolehlah ia dipaparkan di sini pula. Untuk makluman, penulisan di sini adalah yang asal. Maka terdapat sedikit perbezaan dengan yang keluar di Kencana kerana yang di sana telah disunting pengarang. Silakan! 


------------


Assalamualaikum pembaca sekalian. Di sini ingin diumumkan arah tujuan baru dalam proses penceritaan. Jika keluaran lepas segmen “Laksamana pulang ke Perak” lebih merupakan kisah-kisah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan 9 September 2006, bermula keluaran ini pula kita akan meneroka sedikit sejarah dan cerita-cerita lama berkaitan lokasi terpilih dalam pengembaraan peribadi penulis kebelakangan ini. 

Boleh kata hampir seumur hidup penulis rajin mengembara dengan pelbagai cara termasuk hitchiking – menumpang kereta, lori dan apa-apa kenderaan orang yang ditahan di tengah jalan. Ada masanya, perkelanaan diteruskan dengan berjalan kaki berpuluh batu, sampai masuk dan sesat ke dalam hutan dan kawasan pergunungan pun ada. Maka itu banyak juga pengalaman berharga yang boleh dikongsi bersama, sesetengahnya mungkin boleh membuka mata mereka yang dahagakan kisah pengembaraan mencabar seperti sering dilihat dalam kaca TV… Cuma kali ini ia bukan fantasi tetapi realiti!

Dalam pada itu, terbuka juga cerita-cerita menarik tentang tempat-tempat yang dilawati lebih-lebih lagi 5 tahun kebelakangan. Sejak itulah, penulis mula berkelana untuk mendapatkan petunjuk berkaitan sejarah lama Melayu dan Islam di Nusantara termasuk cerita-cerita yang disembunyikan pihak berkepentingan. 

Kalau dahulu, perjalanan dilakukan ke sana ke mari sehingga sanggup tidur bersepah di tepian jalanan Eropah demi memuaskan naluri adventure, sekarang ia dibuat dalam rangka-kerja yang lebih bermakna dalam mengenali salasilah dan wasilah keluarga. Maka itu tajuk “Laksamana pulang ke Perak” masih lagi relevan walaupun lokasi pengembaraan akan melangkau jauh ke luar Perak… Kerana apabila diteliti lebih mendalam, rupa-rupanya kisah-kisah yang dapat dirungkai di luar sana juga masih berkaitan, disebabkan sejarah keluarga turun-temurun menjarah jauh untuk meliputi seluruh pelusuk Nusantara malah sampai ke Timur Tengah, Mekah dan Madinah.


Kenapa Muar? 

Penulisan ini dimulakan petang Sabtu 6 Januari 2007 di stesyen keretapi komuter Kajang, semasa menunggu perkhidmatan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Seorang sepupu yang bekerja sebagai jurutera Petronas sedang melaksanakan tugasan di Seberang Perai dan telah menghubungi penulis mengajak menemaninya menginap di hotel. Dan dia ingin membawa berjalan ke tempat-tempat yang dirasakan menarik di sekitar. 

Kebetulan, penulis yang sedang berehat di sebuah rumah keluarga di Kajang memang menyimpan niat untuk berkelana ke utara tanah-air setelah 2 tahun tidak ke sana. Maka setelah menyelesaikan beberapa hal tertunda, langkah pun dibuka. 

Untuk makluman, perenggan di atas ditulis ketika menunggu bas 8 malam ke Butterworth berlepas daripada Puduraya sedangkan ayat berikut dikarang di perkarangan Masjid Lebuh Aceh di bandaraya Pulau Pinang selepas Subuh 15 Januari. Cerita selebihnya berjaya disiapkan di sebalik deruan ombak di Batu Feringghi pada malam hari. Pendek-kata, segmen ini ditulis di pelbagai lokasi pada masa berlainan, mengikut gerak rasa dan ilham yang muncul tidak menentu. 

Lebih kurang begitulah keadaan hidup penulis sejak menjadi pengembara sepenuh masa 5 tahun kebelakangan. Sebenarnya, hala tuju baru segmen “Laksamana pulang ke Perak” ini ingin dimulakan dengan cerita perjalanan ke Pantai Timur yang dilakukan penghujung Disember 2006. Sebuah rangka-kerja sudah pun disediakan di mana keluaran ini sepatutnya memperihalkan kisah di Kuala Terengganu termasuk hal berkaitan Bukit Puteri yang terletak di antara Istana Maziah dan Pasar Payang… Tetapi 3 hari selepas menyambut Aidil Adha di kampung ibu di Muar, editor Kencana telah menalifon meminta penulis menziarahi beberapa lokasi di daerah yang terletak di utara negeri Johor Darul Takzim itu. Katanya urgent, ada sesuatu yang perlu diselesaikan… 

“Semalam, aku dapat mimpi pergi menziarahi masjid di sebelah makam Sultan Alauddin Riayat Shah,” dia membuka cerita. “Dalam mimpi itu, ada seorang tua memberi aku satu benda. Oleh kerana aku berada di Kuala Lumpur, aku harap engkau boleh pergi ke sana. Rasanya ada sesuatu yang ingin disampaikan.” 

Di samping itu, saudara editor juga meminta penulis supaya menjejakkan kaki ke bekas kubu Bentayan yang terletak berdekatan pasar Muar. “Aku tak pernah sampai ke sana tapi aku tahu di situ dikatakan tempat pertahanan terakhir kerajaan Melaka sebelum kalah peperangan dengan Portugis 1511. Aku harap engkau boleh singgah dan mengambil sedikit gambar.” 

Penulis telah beberapa kali menziarahi makam Sultan Alauddin tetapi kali ini terasa malas hendak bertandang kerana letih mengembara hampir 2 minggu di Terengganu, Kelantan dan Pahang sebelum ini belum lagi susut. Niat di hati pula, dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur nanti, penulis ingin bertandang ke Pulau Besar di Melaka setelah setahun tidak ke sana. Kalau mahu ke makam Sultan Alauddin, perlu menghala ke Kampung Raja di Pagoh, arah yang berlawanan dan 15 km jauh daripada kampung ibu sedangkan penulis cuma mengharapkan kenderaan awam. 

Dipendekkan cerita, ketika sedang menunggu bas ke Melaka di hadapan bangunan Mara Muar, bas ke Pagoh pula sampai dahulu. Maka itulah penulis menjejakkan kaki lagi ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah dan buat pertama kali bermalam di masjid bersebelahan sekali. 


Apa yang istimewa tentang makam Sultan Alauddin Riayat Shah 

Cerita mengenai Sultan Melaka yang terkenal ini serta kewujudan makamnya di Kampung Raja, Pagoh telah pun keluar dalam Kencana bulan Oktober, selari dengan edisi pertama segmen “Laksamana pulang ke Perak”. Di situ telah dinyatakan, makam Sultan Alauddin Riayat Shah adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud di Malaysia. Makam Sultan lain nampaknya telah hilang ditelan zaman, sebenarnya dirombak penjajah terutama Portugis yang mahu menghilangkan kesan warisan orang Melayu daripada bumi ini. 

Nasib baik Sultan Alauddin dimakamkan di Pagoh, jauh daripada wilayah kekuasaan Portugis. Maka itu makamnya selamat dan dapat dilihat generasi sekarang. Cuma yang jadi persoalan, mengapa baginda dimakamkan di sana. Sebagai seorang Sultan, bukankah baginda patut disemadikan di kawasan permakaman diraja yang pernah terletak dalam lingkungan kota Melaka sekarang? 

Persoalan ini telah dikupas serba sedikit dalam buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” lalu dibentangkan kembali dalam Kencana Oktober. Mengikut cerita penduduk tempatan, politik istana serta perebutan takhta telah menyebabkan Sultan yang dikenali warak dan kuat pegangan agama itu membawa diri… Tetapi baginda akhirnya mangkat diracun orang lalu dimakamkan di Kampung Raja. 

Penulis sampai sejurus sebelum waktu Asar… Sempat berehat minum air di sebuah kedai makan di persimpangan pekan Pagoh/ Kampung Raja, sekitar 2 km daripada makam dan melihat kesan banjir luar biasa yang melanda sebahagian besar Johor penghujung tahun 2006. 

Kampung ibu penulis yang terletak 5 km daripada bandar Muar selamat daripada malapetaka tetapi persekitaran Pagoh yang terletak lebih jauh ke pendalaman kelihatan muram. Walaupun banjir telah surut 2 hari lepas, kesan lumpur dan kotoran masih kelihatan merata. Masyarakat setempat pula nampak sibuk mengatur balik kehidupan, ada yang mencuci halaman rumah, ada yang menjemur barangan seperti tilam. 

Perjalanan kali ini ternyata lebih bermakna. Jika dahulu, penulis setakat singgah bersolat tahiyatul masjid di masjid lama bersebelahan sebelum menziarahi makam, kali terserempak dengan imam dan sempat menunaikan solat Asar sebagai makmum. Lebih istimewa lagi, kami sahaja yang berada di masjid ketika itu. Kata imam yang berumur hampir 70 tahun itu, mungkin orang lain tidak dapat hadir kerana sibuk menguruskan rumah masing-masing selepas banjir surut. 

“Kebanyakan orang terpaksa berpindah ke pusat-pusat yang disediakan termasuk bangunan di hadapan masjid ini,” katakan seraya menunjuk ke sebuah balai dengan senibina bumbung Minangkabau, juga bersebelahan makam. “Tapi saya dan isteri saya memilih untuk terus tinggal di rumah walaupun air naik masuk ke dalam sehingga mencapai 1 inci sahaja daripada tilam.” 

Dalam berkenal-kenalan itulah penulis meminta izin untuk bermalam di masjid. Pak imam memberikan persetujuan. Cuma dia berpesan, jangan buat perkara bukan-bukan kerana masjid ini ada “penjaga”nya. “Tetapi jika niat kamu baik, insyaallah apa-apa kehendak dan hajat kamu akan Allah tunaikan berkat tempat ini baik kerana ia bersebelahan makam Sultan Alauddin Riayat Shah, wali Allah yang terpilih.” 

Malam itu, selesai solat Isyak di mana terdapat 7 orang makmum turut serta bersolat, pak imam telah memberi sekeping sampul bersurat berserta nama dan alamat seorang penduduk lama Kampung Raja yang kini menetap ke Kuala Lumpur. 

“Balik nanti carilah dia,” pak imam berpesan. “Orang tua ini sudah berumur lebih 80 tahun tapi masih boleh tahan cergas. Dia tahu kebanyakan cerita lama yang melibatkan Pagoh termasuk cerita mengenai Sultan Alauddin.” Nampaknya betullah telahan saudara editor Kencana meminta penulis pergi ke sana. Rupanya, memang ada sesuatu yang ingin di sampai oleh seorang tua… Samada ia berguna, itu kita akan lihat nanti! 


Kubu Bentayan, pertahanan terakhir kerajaan Melaka 1511 

Selesai bermalam di masjid lama bersebelahan makam Sultan Alauddin di Kampung Raja, sampailah masa untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu Pulau Besar, Melaka. Sudah setahun tidak ke sana dan alang-alang berada berdekatan (letaknya sekitar 30 km daripada Muar, dan dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur), eloklah menziarahi makam Sultan Ariffin Sheikh Ismail di pulau itu. 

Untuk makluman baginda adalah seorang wali Allah daripada keturunan raja segala wali Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, pernah datang menyebarkan Islam ke Nusantara 700 tahun lalu. Hikayat Raja-raja Pasai menyebut, Sheikh Ismail juga telah menabalkan Sultan Malikus Saleh yang mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai (dalam Aceh sekarang). Cerita ini ada dihuraikan panjang lebar dalam buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti.” 

Selepas mandi dan solat Subuh berjemaah, penulis singgah sebentar di makam Sultan Alauddin sebelum melangkah ke jalan besar. Kebetulan pemandu sebuah lori kecil yang membawa getah buku sudi menumpangkan sampai ke pekan Pagoh. Maka di sanalah penulis bersarapan pagi sebelum mendapatkan sebuah teksi ke bandar Muar. 

Dalam perjalanan, saudara editor Kencana telah menalifon bertanyakan khabar. Oh… Terlupa pula… Hari sebelumnya, penulis sempat menghantar pesanan ringkas memberitahu akan bermalam di masjid bersebelahan makam Sultan Alauddin. Maka saudara editor yang sangat senang hati pun mengingatkan supaya singgah di kubu Bentayan. 

“Jangan lupa, cari sebuah pohon besar berdekatan Sungai Bentayan. Kalau boleh ambil gambarnya sekali,” dia memberi ingatan. 

Dipendekkan cerita, penulis pun singgah di kubu Bentayan yang terletak bersebelahan pasar Muar serta stesyen bas ekspress ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Kalau tidak kerana ingatan yang diberikan, kemungkinan besar perjalanan mungkin diteruskan ke stesyen bas lagi satu untuk menaiki bas bukan ekspress ke Melaka. 

Kubu Bentayan terletak berhampiran kuala Sungai Bentayan yang bertemu dengan Sungai Muar. Di atas kualanya terdiri bangunan Medan Selera Bentayan. Maka seseorang itu boleh berdiri betul-betul di atas kuala Sungai Bentayan yang lebarnya lebih-kurang 20 kaki tanpa perlu mencecah air atau menaiki sampan. 

Sebuah tugu peringatan kecil tertulis “Kubu Bentayan. Pertahanan terakhir kerajaan Melaka 1511” yang didirikan Majlis Daerah Muar Selatan (sekarang Majlis Perbandaran) kalau tak salah ingatan lebih 10 tahun lalu masih wujud berdekatan, di sisi stesyen teksi dan kaunter pembelian bas ekspress. Malangnya, ia seolah-olah tidak dipedulikan.

Masyarakat sekarang nampak tidak kisah, suatu masa dahulu di sini pernah berlaku perang besar yang menentukan nasib kerajaan Melayu Melaka. Selepas kejatuhan kota Melaka tahun 1511, orang Melayu telah mengatur barisan baru di Bentayan pada tahun yang sama dengan diketuai Raja Ahmad atau Sultan Ahmad. Ceritanya ada dinukilkan sedikit dalam artikel berkaitan. Ayahanda baginda, Sultan Mahmud pula berkubu di Pagoh. 

Jika angkatan Sultan Ahmad di Bentayan berjaya menepis serangan Portugis, kemungkinan besar mereka akan naik kembali ke utara lalu membebaskan Kota Melaka. Sebaliknya sejarah mencatatkan, angkatan baginda diikuti angkatan Sultan Mahmud kalah lalu memaksa mereka berundur ke Pahang selama beberapa tahun. Maka terbuanglah mereka daripada kota Melaka, jika bernegeri kembali pun jauh di wilayah lain seperti Johor dan Bentan. 

Setelah berlegar-legar agak lama di sekitar kawasan untuk mencari beberapa sudut yang sesuai untuk diambil-gambar, ternyata tidak kelihatan apa-apa pohon besar seperti disebut saudara editor Kencana. Penulis pun menghubunginya untuk memberitahu. Rupa-rupanya saudara editor tidak tahu bahawa kubu Bentayan terletak di dalam kawasan bandar. 

“Patutlah aku nampak dalam mimpi macam ada pokok besar. Rupanya dalam kawasan bandar,” jawabnya mudah. Atau mungkin pohon besar yang dimaksudkan pernah wujud satu ketika dahulu? Mungkin pohon itu tumbang selari dengan kejatuhan Melaka 500 tahun lalu? 


Sultan Ahmad, Sultan terakhir Melaka? 

Ingat lagi cerita peminangan Puteri Gunung Ledang di mana Sultan Melaka telah diberi 7 syarat yang pelik-pelik jika hendak mengahwini sang puteri rupawan? Termasuk di dalam syarat-syarat ini adalah sang Sultan mesti menyediakan sedulang hati nyamuk dan sedulang hati kuman. Baginda juga mesti mendirikan sebuah jambatan emas yang menghubungkan Melaka dengan Gunung Ledang. 

Mengikut ceritanya, semua syarat ini dapat dipenuhi kecuali satu sahaja – menyediakan setampuk pinang darah anakanda Sultan iaitu Raja Ahmad. Semasa itu, putera raja itu masih seorang bayi. Maka jika darah sebanyak itu dikeluarkan daripada tubuhnya, samalah juga dengan membunuh terus bayi itu. 

Apapun, catatan sejarah Nusantara yang diterima ramai termasuk kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang menyebut, Raja Ahmad akhirnya mati dibunuh ayahandanya Sultan Mahmud juga. Ini berlaku tidak lama selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. 

Sultan Mahmud diketahui sangat zalim. Selain menindas rakyat demi memenuhi syarat peminangan Puteri Gunung Ledang, baginda pernah mengarahkan pembunuhan adinda tirinya Raja Zainal kerana cemburu, adindanya yang elok paras-rupa sering menjadi perhatian para perawan Melaka. Sultan Mahmud juga sanggup menghapuskan seluruh keluarga Bendahara Tun Mutahir akibat dendam. Baginda berkenan dengan puteri Bendahara, Tun Fatimah yang cantik rupawan tetapi telah dijodohkan dengan Tun Ali. Lalu apabila ada pihak memfitnah Bendahara ingin merampas takhta, baginda tanpa usul periksa terus menghapuskan keluarga Bendahara kemudian mengambil peluang mengahwini Tun Fatimah pula.

Adapun anakandanya Raja Ahmad dikatakan sebagai seorang warak yang sangat merendah diri. Mungkin putera raja itu telah melihat segala macam keburukan yang menyebabkan Melaka jatuh ke tangan penjajah, lalu insaf atas apa yang berlaku serta menjalankan polisi pentadbiran yang jauh berbeza dengan cara Sultan Mahmud? 

Ada cerita-cerita lama menyebut, Raja Ahmad tidak mengambil berat akan protokol istana kerana sering bergaul dengan golongan marhaen tanpa memerhatikan batasan yang selalunya memisahkan golongan raja dengan rakyat biasa. Selain itu, baginda dikatakan kurang memberi perhatian terhadap para pembesar lama, mungkin kerana Raja Ahmad tahu sifat sebenar mereka yang menyebabkan kejatuhan Melaka. 

Di sini, biar dipaparkan sedutan berkaitan daripada buku “Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti”... 


Sebelum Melaka diserang, Raja Ahmad sempat menaiki takhta. Malah menurut kitab Sejarah Melayu, bagindalah sebenarnya Sultan terakhir Melaka, bukannya Sultan Mahmud. Tetapi Sultan Ahmad yang baik dan elok budi pekertinya tidak sempat membetulkan kesilapan ayahandanya. Baginda memegang kuasa ketika Melaka hampir jatuh, ketika para pengkhianat sudah bermaharajalela dan rahsia pertahanan kota sudah jatuh ke tangan musuh. Maka Portugis pun dapat menduduki Kota Melaka dengan mudah. Larilah dua beranak ini ke Muar, menurut Sejarah Melayu, Sultan Mahmud berkubu di Pagoh, Sultan Ahmad di Bentayan. Malangnya, musuh menyusul lalu menyerang dan mengalahkan mereka. Terpaksa pula lari ke Pahang sebelum berpindah ke Bentan beberapa tahun kemudian. 

Sultan Ahmad pun bernegeri di Kopak dan mula mengatur pemerintahan. Tetapi mengikut ceritanya, baginda lebih memberi perhatian kepada para pembesar muda, tidak pandai “mengambil hati” para pembesar senior dan orang-orang lama. Agaknya sebab baginda tahu pembesar tua lah yang menyebabkan kejatuhan Melaka? Buat apa lagi nak beri muka? 

Maka mengadulah mereka kepada Sultan Mahmud. Menurut Sejarah Melayu, Sultan Mahmud menyaksikan sendiri bagaimana anaknya lebih mementingkan para pembesar muda. Lalu disebut dalam kitab itu : 

Maka tiada berkenan baginda akan pekerti anakanda itu, maka disuruh kerjakan seperti firman Allah, Idzaja’ ajaluhum, la yasta’ khiruna sa’atan, wa la yastakdimuna, ya’ani ertinya, apabila datang ajal seseorang mereka itu tiada terkemudian seketika, dan tiada terdahulu seketika juapun. 

Dalam bahasa mudah, Sultan Ahmad dibunuh atas titah ayahandanya sendiri! Tidak lama kemudian, Kopak pun diserang Portugis. Maka merempatlah lagi Sultan Mahmud. Ish. kasarnya si Rasyid bercerita... 

“Selepas dipaksa melarikan diri dari satu tempat ke satu tempat, Sultan Mahmud akhirnya berlindung di Kampar dan mangkat di sana. Agaknya masa dekat hendak meninggal barulah dia betul-betul menyesal kot?” kata pemuda itu lagi seraya menjeling kenalan yang menegurnya tadi.